MULAI 1 MAC 2024, SABASUN TELAH MENGAMBIL KEPUTUSAN UNTUK MEMBOIKOT HAMPIR 100% BARANGAN BERKAITAN iSRAEL.
BOIKOT SEPENUHNYA
Keputusan Boikot Sepenuhnya diambil serta merta ke atas produk yang telah dipastikan tidak mempunyai manfaat kesihatan seperti Coca Cola, Pepsi, Wrigleys, dan lain-lain; walaupun jualannya laris.
BOIKOT SEBAHAGIAN
Strategi Boikot Sebahagian terpaksa dilakukan apabila ianya melibatkan produk yang sensitif kepada pengguna seperti susu tepung bayi, makanan suplemen, di mana sesetengah pengguna tidak boleh sembarangan bertukar jenama kerana masalah alahan.
Ada kes yang melibatkan kebergantungan terlalu ramai orang terhadap sesuatu jenama seperti Milo. Walaubagaimanapun, matlamat jangka panjang boikot sebahagian adalah untuk mencari ruang dan peluang bagi memboikot sepenuhnya sehinggalah syarikat terbabit mendengar tuntutan dari masyarakat antarabangsa.
Contoh (Kes 1)
Produk Johnson & Johnson mula diboikot pada tahun 2006 yang lalu. Proses memboikot terpaksa dilakukan secara berperingkat memandangkan penggunaannya yang meluas di kalangan rakyat Malaysia berdasarkan kepada faktor sejarah kepenggunaan. Jenama ini sudah lebih 70 tahun bertapak di negara kita. Strategi yang digunakan ialah dengan memboikot 100 jenis barangan daripada jumlah keseluruhan 126 jenis. Hanya beberapa jenis (di mana pengguna sudah turun temurun menggunakannya) seperti bedak bayi. Dengan perkembangan produk alternatif tempatan yang ditawarkan berserta dengan sokongan pelanggan, jualan produk ini semakin berkurangan dari sehari ke sehari lalu dapat diboikot sepenuhnya pada bulan Januari 2009. Pengguna yang berbelanja di Sabasun mula selesa memilih bedak bayi jenama tempatan seperti Anakku, Fiffy, OK Baby, Carrie, Do Re Mi dan pelbagai jenis lagi.
Contoh (Kes 2)
Kraft Food / Mondalez Int. adalah syarikat penyokong Zionis yang mengeluarkan jenama seperti Cadbury, Keju, Biskut Jacob, Chipsmore, Tiger, makanan ringan Twisties, Cheezels dan lain-lain. Memandangkan Cadbury dan Jacob merupakan jenama yang telah lama diguna pakai, kami mengambil langkah yang sama (Boikot Sebahagian) dan Cadbury berjaya diboikot sepenuhnya pada Januari 2013 (sebelum isu DNA khinzir tersebar). Manakala produk biskut Jacob, Chipsmore dan Tiger pula berjaya diboikot sepenuhnya pada tahun 2016. Tiada lagi produk keluaran Mondalez di Sabasun.
NESTLE, MILO DAN …
Syarikat Nestle telah ditubuhkan di Switzerland pada tahun 1866. Ianya diasaskan oleh Henri Nestle dan mula bertapak di negara kita semenjak lebih 100 tahun yang lalu, iaitu pada tahun 1912. Ini bermakna sudah lebih seratus tahun kita bergantung hidup kepada produk ini bermula dari zaman datuk moyang kita lagi. Produk yang mula-mula dikeluarkan oleh syarikat mereka ialah susu tepung dan susu pekat (Nespray, Lactogen, susu Cap Junjung dan lain-lain).
Pengalaman kita sendiri tentang Milo bermula semenjak di bangku sekolah rendah lagi. Setiap kali acara sukan sekolah, pasti “canteen van” Milo tidak akan ketinggalan turut serta melakukan aktiviti pemberian sampel minuman Milo sejuk percuma kepada pelajar-pelajar sekolah termasuklah guru-guru dan kakitangan pendidikan di seluruh negara. Jenama itu telah ditanam ke dalam benak minda rakyat Malaysia dalam jangkamasa yang sangat lama. Kesannya, menurut data dari Nestle sendiri, rakyat Malaysia adalah pengguna Milo yang tertinggi di dunia mengalahkan Australia dan England. Ditambah pula dengan penguasaan ruangan iklan di media elektronik pada waktu puncak, serta hampir semua akhbar harian dan media cetak yang popular, papantanda-papantanda awam; sudah tentu memberi kesan tarikan serta pengaruh yang lebih kuat kepada pengguna (walaubagaimanapun, strategi mereka yang hebat dan istiqomah itu wajar kita contohi). Milo adalah minuman bercoklat, tetapi disebabkan jenama itu sudah sebati di dalam jiwa rakyat Malaysia, segala jenis minuman bercoklat adalah Milo!
Jenama Maggi pula menjadi sangat popular pada era 70-an apabila Nestle mengiklankan mi segera mereka secara besar-besaran. Sehingga skrip “cepat dimasak sedap dimakan” menjadi mentera kepada hampir setiap orang pada masa itu; tidak kira kecil atau dewasa. Bermula dari era itu, segala jenis mi segera orang Malaysia panggil Maggi!
Nescafe pula merupakan jenama kopi segera pertama yang dikenali oleh rakyat Malaysia. Sebelum adanya produk kopi tempatan yang banyak pada hari ini (Kopi Radix, Jantan, dsb). Nescafe memonopoli hampir keseluruhan pasaran peminum kopi segera di Malaysia semenjak 50 tahun dahulu. Alhamdulillah, semenjak pengusaha tempatan mula berani bersaing di dalam bidang pembuatan kopi segera, kuasa monopoli Nescafe dalam kategori minuman tersebut semakin berkurang..
Nestle merupakan pembekal yang mempunyai tawaran produk terbanyak iaitu berjumlah lebih dari 500 jenis barangan.
Di antara usaha dan strategi yang dilakukan oleh Sabasun bagi menangani kes Nestle:
- Telah memboikot 340 jenis barang dari Jumlah 500.
- Memboikot keseluruhan produk sejuk seperti yogurt dan minuman segera.
- Memboikot keseluruhan jenama coklat Nestle (Kit Kat, Fox, Smarties dan sebagainya)
- Tidak melakukan sebarang aktiviti promosi atau sampel kepada pelanggan.
- Menghadkan ruang jualan. Ruang jualan yang strategik diutamakan kepada produk tempatan.
- Tidak terlibat dalam sebarang bentuk pengiklanan.
- Tidak dihidangkan di restoran-restoran yang dikendalikan oleh Sabasun.
- Menghantar surat rasmi kepada CEO Nestle di Vevey, Switzerland (sebanyak dua kali) bagi menyatakan tindakan yang telah diambil dan isu yang perlu ditangani.
Kesimpulan
Justeru dari kesan psikologi kepenggunaan yang amat berat yang ditanggung oleh pengguna di negara kita semenjak seabad yang lalu akibat dari strategi di atas, sudah tentu usaha boikot ini memerlukan masa, tenaga, kewangan serta fokus yang berterusan (di dalam keadaan serba keterbatasan dibandingkan dengan mereka) bagi menyakinkan kembali pengguna Malaysia terhadap produk negara sendiri di samping memberi maklumat yang berterusan kepada pengguna tentang kesannya terhadap konflik Palestine-Israel.
Sepanjang tempoh lebih 75 tahun menjajah Palestin, Israel telah melanggar undang-undang antarabangsa, tidak ambil peduli terhadap lebih 240 amaran yang dikeluarkan oleh PBB, mencabuli konvensyen Geneva ke-4 berkenaan dengan undang-undang peperangan serta banyak lagi. Justeru itu masyarakat dunia perlu bangkit bersuara menentang kekejaman dan ketidakadilan ini. Kita tidak mengharapkan Syarikat Nestle bankrap atau pekerjanya kehilangan kerja hasil dari aktiviti boikot ini, tetapi lebih kepada memberi mesej dan kesedaran kepada pelabur-pelabur dalam syarikat Nestle bahawa ‘matlamat tidak menghalalkan cara’. Walaupun pihak Nestle mendakwa mereka hanya berniaga dengan pihak Israel, tidak lebih dari itu; tetapi bayangkan, tergamakkah mereka berniaga dengan penipu, perompak dan dalam masa yang sama pembunuh yang kejam? Semuga mereka dapat merenung mesej yang kita cuba sampaikan.
Perjalanan 1000 batu bermula dengan langkah yang pertama. Ianya mestilah bermula dari setiap individu yang sedar akan kepentingan membebaskan bumi Palestin dari cengkaman Zionis. Pihak kami sama sekali tidak akan mampu untuk merealisasikan perjuangan ini tanpa sokongan daripada setiap individu yang mempunyai kesedaran. Tanpa sokongan padu serta kefahaman dari pengguna, pihak kami peruncit tidak mempunyai kuasa apa-apa untuk memaksa pengguna.
Kuasa mutlak terletak di tangan PENGGUNA! Andalah yang menentukannya!
Daripada abu Sa’id al-Khudri R.A berkata, aku mendengar Nabi ﷺ bersabda:
مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ، فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ، وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ
Maksudnya: “Barangsiapa di antara kamu yang melihat kemungkaran, hendaklah dia mengubahnya dengan tangannya. Apabila dia tidak mampu, maka dengan lisannya. Dan apabila dia tidak mampu lagi, maka dengan hatinya. Sesungguhnya itu adalah selemah-lemah iman.” [Riwayat Muslim (78)]